Monday, May 31

Alor Setar : Jom Makan Sambil Naik Helikopter

ALOR SETAR 30 Mei - Program Alor Setar Food Trail 2010 yang dilancarkan semalam akan menjadi satu lagi aktiviti utama bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.
Pengarah Bahagian Pemasaran Domestik Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia, Abdul Rahman Shaari berkata, selain daripada melawat ke tempat-tempat yang menarik, makanan telah dikenal pasti sebagai komponen utama perbelanjaan para pelancong.

Beliau berkata, kepelbagaian makanan yang ditawarkan oleh sesebuah destinasi pelancongan termasuk makanan tradisional boleh mendorong pelancong untuk datang dan tinggal lebih lama di situ.

"Pada masa lalu, kita mungkin memandang perkara ini secara sambil lewa sahaja sedangkan makanan sebenarnya boleh menjadi satu tarikan utama kepada pelancong.

"Oleh itu, program Alor Setar Food Trail 2010 ini akan menjadi satu usaha oleh kerajaan bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Alor Setar Food Trail 2010 di pekarangan Menara Alor Setar di sini semalam.

Sebagai permulaan, katanya, sebanyak 25 kedai makan di bandar raya ini telah dipilih sebagai lokasi utama untuk para pelancong menikmati pelbagai hidangan yang ditawarkan.

Abdul Rahman berkata, daripada senarai itu, Pekan Rabu telah dipilih sebagai destinasi utama food trail tersebut.

Menurutnya, risalah khas Alor Setar Food Trail 2010 juga telah diterbitkan untuk memudahkan para pelancong mencari tempat makan semasa berkunjung ke negeri ini.

Tambahnya, risalah itu juga akan diletakkan di semua hotel di negeri ini sebagai kemudahan kepada para pengunjung.

"Pihak kami telah mengenakan syarat yang ketat terhadap para pengusaha terbabit termasuk memastikan mereka mematuhi syarat kebersihan yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan sebelum mereka boleh disenaraikan," katanya.

Karnival itu turut mencatatkan rekod dalam senarai Malaysia Book Of Records bagi pembikinan Kuih Karas Kedah Terbesar.

No comments:

Post a Comment